Friday, May 30, 2008

Cukupkah P Ramlee di Hargai?

LAGU keramat Legenda nyanyian Sheila Majid merupakan terjemahan paling tepat mengenai sumbangan besar Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada industri hiburan tanah air.

Karya-karya seni P. Ramlee yang diasaskan ketika hayat seniman itu sebetulnya terlalu masyhur dan masih relevan sehingga ke hari ini.

Kerana itu juga, tidak hairanlah kenapa P. Ramlee dianggap oleh sebilangan besar daripada kita sebagai permulaan kepada kegemilangan industri hiburan Malaysia.

Hari ini genap 35 tahun, seniman hebat itu meninggalkan kita.

Dalam tempoh itu, kita terus didengarkan dengan alunan melodi-melodi emasnya, kita tertawa sendirian menonton celoteh-celotehnya dalam filem bahkan kita juga berduka dalam kesedihannya dalam setiap lakonan-lakonan yang menghibakan.

P. Ramlee merentasi masa bersama naskhah-naskhah yang dihasilkannya sejak dari zaman muda sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Persoalannya sejauh mana kita menghargai karya-karya seni yang ditinggalkan buat kita?

Penghargaan barangkali ada, tetapi cukupkah buat orang yang telah mencetus fenomena yang bukan kecil untuk industri muzik dan perfileman serantau?

Sebelum ini, banyak sekali keluhan yang kedengaran mengenai nasib yang menimpa seniman dan seniwati tempatan terutamanya mereka sudah meninggal dunia.

Berbeza dengan Hollywood, pemergian orang-orang seni ke alam barzakh akan membawa bersama segala kesedihan dan keperitan ketika menjadi anak seni.

Jangankan disentuh soal apresiasi khalayak terhadap jasa dan sumbangan mereka, bahkan jika mahu dinilai atau kekayaan yang ditinggalkan mereka juga sesuatu yang sedih untuk dibincangkan secara terbuka.

P. Ramlee bukan Frank Sinatra mahupun Elvis Presley yang dianggap sebagai ikon penting dalam sejarah industri seni Hollywood.

Filem dan lagu mereka terus diabadikan dalam bentuk cakera padat dan cakera padat digital kerana Hollywood tahu, ikon seperti itu merupakan rujukan penting untuk usaha memperkasakan industri hiburan mereka.

Elvis misalannya, terus ‘hidup’ apabila rumah agamnya, Graceland yang terletak di Memphis, Tennessee telah dijadikan sebagai salah satu tempat tarikan pelancong.

Nasib P. Ramlee

Tetapi, bagaimana pula dengan nasib P. Ramlee di sini? Kita sering laungkan dia legenda yang sukar dicari ganti tetapi di manakah sebenar tempatnya?

Berapa ramai yang tahu tentang Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di Jalan Setapak, Kuala Lumpur?

Adakah usaha untuk menjadikan rumah pusaka yang merupakan satu-satunya peninggalan P. Ramlee sebagai tempat tarikan terutama untuk tatapan anak muda hari ini?

Pusaranya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur pula, berapa ramai yang tahu atau sedar tentang lokasinya?

Bagi pelakon dan penerbit filem terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelina, usaha yang harus dipergiatkan ialah memasyhurkan karya-karya seniman itu kepada angkatan generasi muda.

Usaha itu kata penerbit pementasan P. Ramlee The Musical itu amat penting bagi memastikan karya-karya P. Ramlee tidak dilupakan.

Apa lagi tegasnya, ketika ini, generasi muda yang lahir selepas P. Ramlee meninggal dunia sudah tidak mengenali ikon itu.

“Untuk menyalahkan orang muda juga tidak boleh kerana mereka tidak dilahirkan di era P. Ramlee dan kerana itu, saya fikir sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu memperkenalkan P. Ramlee dalam pendekatan yang lebih segar,” jelasnya kepada Hits.

Lalu, pementasan P. Ramlee The Musical musim kedua di Istana Budaya, Kuala Lumpur kini jelas Tiara, merupakan usaha beliau untuk memastikan P. Ramlee terus ‘hidup’ dalam industri hiburan.

Aset yang begitu berharga

Berdasarkan rekod karya-karya seni P. Ramlee, kesemua penghasilan beliau merupakan aset yang begitu berharga dan tiada wang ringgit mahupun segunung intan yang mampu menggantikannya.

Dunia semakin berubah dan tiada siapa yang dapat menjangkakan sampai bila nama P. Ramlee akan terus bersemadi dan tersemat di jiwa kita semua terutama sekali generasi muda hari ini.

Jadi, apakah peranan kita untuk meletakkan P. Ramlee agar terus dikenang selagi nyawa dikandung badan?

Adakah cukup dengan mengadakan persembahan untuk mengingati ulang tahun kelahiran ataupun kematiannya?

“Penghargaan pada Allahyarham sememangnya ada. Namun, apakah penghargaan yang kita berikan kepada beliau berterusan?” itu persoalan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang menyifatkan P. Ramlee seharusnya dihargai secara berterusan.

Sebagai seni seni, Siti Nurhaliza berpendapat, penghargaan yang berterusan terhadap P. Ramlee yang wajar dilakukan ialah mengambil usaha memasyhurkan karya-karya seni seniman itu ke peringkat global.

“Bila memikirkan keagungan kesenian tinggalan P. Ramlee, membuatkan saya tertanya, apakah cukup lagu-lagu dan filem-filem hebat beliau hanya terbatas di Malaysia.

“Saya rasa rugi kalau kita membataskan penghargaan di tanah air saja sedangkan saya percaya pengaruh P. Ramlee di peringkat serantau sahaja sudah cukup besar dan wajar diperluaskan lagi,” kata Siti Nurhaliza berkongsi idea.

Tiara Jacquelina dan Siti Nurhaliza antara jumlah kecil karyawan seni yang berasa bimbang dengan masa depan karya-karya seni P. Ramlee.

Sama ada kita bersedia atau tidak untuk memperluaskan skop penghargaan itu, asasnya industri hiburan akan terus berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat usaha-usaha memperkasakan karya-karya P. Ramlee, apatah lagi selepas ketiadaan beliau.

Tetapi sampai bila kita harus membiarkan keadaan berterusan sebegini?

Cuba kita renungkan. Apakah yang kita sudah lakukan untuk terus mengenang P. Ramlee sebagai satu aset negara yang tiada tandingannya.

Seniman kelahiran Pulau Pinang itu mungkin tidak meninggalkan harta yang banyak tetapi dia telah memberi kita legasinya untuk kita kenang dan pelihara sampai bila-bila.

Andai ada kisahnya yang tidak enak untuk diceritakan adalah baik jika kita simpan dan usahlah dijaja mahupun diceritakan.

Kita perlu cermin diri kita sebelum kita memperkatakan tentang orang lain.

Buat P. Ramlee, jasa dan pengorbananmu akan tetap dikenang sampai bila-bila. Dan sesuatu yang pasti, P. Ramlee akan terus dirindui.

Semoga beliau terus damai di sana, Al-Fatihah.

Dan kebetulan bersempena dengan ulang tahun ke-35 pemergian P. Ramlee, acara penting dalam kalendar seni tanah air akan disempurnakan iaitu Hari Seniman Negara.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, apa yang diharapkan ialah pengisian acara itu akan memberi manfaat yang besar pada karyawan seni.

( dipetik dari Utusan Malaysia 30hb Mei 2008)

*mungkinkah selepas ini, akan ada pihak membuat biography filem tentang P Ramlee.






Friday, May 23, 2008

Antara Blog dan website (com)..

Selepas pilihanraya PRU12, nampaknya semakin ramai tokoh politik kerajaan, agensi2 kerajaan, dll giat dan berlumba-lumba membuat blog sendiri. Fenomena ini terjadi selepas tokoh-tokoh politik parti pembangkang menggunakan blog sebagai sebahagian daripada kempen pilihanraya dan alternatif informasi kepada rakyat.
Sebenarnya, fenomena ini boleh dikatakan kelakar. Ini adalah kerana blog adalah sebahagian daripada website. Blog merupakan satu diari atau catatan dalam betuk online dan percuma. Pada dasarnya kebanyakan tokoh politik pembangkang menggunakan blog ( blogger.com) dan tidak mendaftar domain sendiri ( sama ada .com atau .com.my) kerana domain yang berdaftar dikawal oleh MIMOS dna kerajaan. Oleh kerana itu jika kerajaan memerintah mendapati website tersebut mengancam negara, maka website tersebut boleh dihapusan atau dihalang aksess untuk tatapan pengguna internet .
Senario yang berlaku ialah kewujudan website domain kerajaan dan agensi kerajaan tetapi tidak pernah dikemaskini atau diabaikan. Oleh kerana itu bila tidak dikemaskini maka, maklumat tidak sampai kepada rakyat.Selain daripada itu berlaku pembaziran duit rakyat.Ini adalah kerana pembayaran untuk domain-domain tersebut adalah menggunakan wang rakyat.
Tetapi, ada juga sesetengah website kerajaan yang dikemaskini, tetapi maklumat yang ditampilkan hanya melepaskan batuk di tangga.
Salah satu cara untuk mengawal blog-blog tersebut ialah kerajaan malaysia melalui MIMOS perlu mencipta website yang mirip blog, seterusnya mengalakkan rakyat menggunnakn perkhidmatan tersebut. Ataupun kerajaan malaysia bekerjasama dengan pemilik domain www.blogger.com
Cuma, langkah yang dibuat perlulah serius dan bukan hanya melepaskan batuk di tangga. Ini pernah berlaku kepada satu projek kerajaan iaitu www.waumail.com ( website email malaysia yang pertama) tetapi telah menemui kegagalan. Di situ, sekali lagi berlaku pembaziran duit rakyat. Waumail dilancarkan pada tahun 1998 (Kalau tak silap).
Kerajaan yang memerintah sepatutnya mencipta dan mengawal trend, bukan terikut-ikut dengan trend. Di akhirnya nanti, cuma akan merugikan rakyat bawahan dan pertengahan sahaj..Fikir-fikirkan lah